Assalamualaikum wbt.
Sewaktu berusia 12 tahun, bapa saudara baginda Abu Talib, membawa bersama-samanya ke Negeri Syam(Syria). Ketika mereka sampai ke suatu tempat yang dikenali sebagai 'Besra', mereka telah berjumpa dengan seorang paderi yang bernama 'Buhaira', seorang yang bijak mengenai kitab Injil dan agama Nasrani(Kristian).
Buhaira memerhati Nabi Muhammad SAW dan bertanya kepada Abu Talib, "Budak ini anak tuan hambakah?" Abu Talib menjawab, "Kenapa tidak, ya, budak ni anakku." Dijawab begitu kerana Abu Talib sangat mengasihi dan menyayangi Rasulullah sejak dahalu lagi dan selalu menyebut-nyebut baginda sebagai anaknya.
Buhaira menegaskan, "Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup." Abu Talib pun menjawab, "Sebenarnya budak ini anak saudaraku, bapanya meninggal ketika dia masih dalam perut ibunya." Paderi tu menambah, "Memang benar apa yang kau ceritakan kerana segala-galanya tercatat dalam Injil dan di sini ingin aku nasihatkan supaya segeralah engkau membawanya pulang sebab kalaulah ternampak oleh orang Yahudi, mereka akan mengancam nyawanya kerana anak saudaramu ini akan membawa suatu perkaraa besar dan agung di suatu masa nanti." Maka Abu Talib pun segera pulang ke Mekah bersama Rasulullah.
Selepas itu Rasulullah pun memasuki alam remaja dan dewasanya. Baginda bekerja bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki yang halal dengan menternak kambing penduduk Mekah.
Allah telah mengawal dan mengawasi zaman remaja nabi. Sebab itu lah nabi tidak seperti remaja lain yang menyeleweng. Baaginda sendiri menceritakan kepada kita mafhumnya:
"Aku tak pernah teringat hendak melakukan seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian besar orang-orang jahiliyyah, kecuali 2 kali tetapi dielak dan dijauhkan oleh Allah SWT. Lepas itu aku tak ingat-ingat lagi hinggalah aku diutuskan.
Di suatu ketika aku berternak dengan seorang pemuda lain di mana aku telah meminta beliau agar tolong melihatkan(menjaga) kambing ternakanku smentara aku hendak pergi melihat-lihat di kota Mekah. Pemuda itu sanggup menunaikan harapanku dan aku pun keluar sehingga akhirnya sampailah ke rumah pertama di Kota Mekah dan aku mendengar permainan lantas aku pun bertanya apakah bunyi-bunyian itu. Orang itu memberitahuku bahawa itulah keramaian dan pesta.
Aku pun duduk hendak mendengar tetapi Tuhan(Allah) telah menulikan(tidak dapat mendengar) sejurus telingaku menyebabkan aku terlena dan aku terjaga semula bila sinaran cahaya matahari memancar ke muka ku. Aku pulang serta merta menemui sahabatku tadi. Beliau bertanya bagaimana halnya dengan diriku semalam. Aku pun menceritakan apa yang telah sebenarnya berlaku.
Dan di suatu malam yang lain sekali lagi aku meminta supaya membenarkan aku keluar seperti dahulu tetapi sebaik sahaja aku sampai ke Mekaah terus berlaku perkara yang sama seperti dahulu ke atas diriku. Lepas itu aku tidak mencuba lagi."
PENGAJARAN DAN RENUNGAN
1. Cerita pertemuan Rasulullah dengan Buhaira membuktikan kepada kita bahawa ahli kitab(orang Yahudi dan Nasrani) sudahpun mengetahui tentang pengutusan Muhammad SAW melalui kitab Taurah dan Injil, yang telah menceritakan satu persatu tentang tanda-tanda dan kedatangannya.
Orang Yahudi Madinah pernah menyebut-nyebut tentang Nabi Muhammad, dan bila datangnya nabi, mereka akan beriman dan beperang dangan baginda untuk menghancurkan kaum Aus dan Khazraj kerana Yahudi Madinah bermusuh dengan puak ni. Tapi lepas datangnya Nabi Muhammad SAW, tak da pulak mereka ni nak beriman.
(Keterangan dari Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 89)
Sadina Umar juga ada bertanya kepada Abdullah bin Salam, seorang paderi Yahudi yang telah memeluk Islam semasa turunnya ayat ni:
"Orang-orang(Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al-Kitab(Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui."
(Surah Al-Baqarah 2:146)
Abdullah menjawab, "Ya, memang begitu dan malah lebih dari itu. Segala sifat-sifat Rasulullah itu aku telah mengetahui lebih terperinci berbandng pengetahuan tentang anak-anak ku.
Salman Al-Farisi ra, memeluk Islam sebab beliau tahu sifat-sifat dan kedatangan Rasulullah terlebih dahulu kerana semuanya tersirat dalam Injil dan diperkatakan oleh paderi.
Namun ini tak menunjukkan bahawa semua ahli kitab tu percaya segalanya. Kitab Injil yang kita baca sekarang adalah yang langsung tak menyebut tantang Nabi Muhammad dan sifat-sifatnya kerana tokok tambah, tukar ganti oleh paderi dan gereja. Allah dah tegaskan dalam Al-Quran tentang perkara ini dalam Surah Al-Baqarah, ayat 78-79.
2. Hikmah kerja-kerja dan usaha-usaha yang diredhai dan dipinta oleh Allah dari hamba-hambanya yang soleh di dunia ini.
Mudah sebenarnya bagi Allah untuk memewahkan kehidupan nabi Muhammad tanpa perlu pun nabi bekerja dan mengeluarkan peluh, tak perlu pun berjual beli, membela kambing dan sebagainya. Tapi hikmah Allah buat begini adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa sebaik-baik harta ialah hasil dari perusahaan sendiri demi untuk kebaikan masyarakat dan manusia seluruhnya dan seburuk-buruk kesenanangan ialah kemewahan yang diperolehi tanpa kesusahan yang langsung tidak memberi sebarang sumbangan kepada masyarakat.
3. Rasulullah mendapat bimbingan Ilahi secara terus-menerus sedangkan yang di sekelilingnya tetap terus dibawa biah(keadaan).
Mudah juga bagi Allah untuk melahirkan nabi yang telah dibersihkan dari segala sifat yang membawa kepada pemuasan nafsu. Tapi Allah jadikan Muhammad SAW seperti manusia biasa yang lain, yang mempunyai sifat-sifat dan naluri-naluri seperti yang lain. Tetap juga seorang pemuda yang gemar pada kesenangan, hiburan dan sebagainya. Namun, Allah SWT telah memelihara dan memaksumkan baginda dari melakukan perbuatan keji dan sesuatu yang tidak sepatutnya dlakukan oleh seorang pendakwah.
Kesemua ni memperlihatkan kepada kita tanda kenabian yang disediakan demi untuk memikul bebanan tanggungjawab. Hikmah Allah mahukan apa yang dikatakan bimbingan Ilahi tu dapat ditunjukkan kepada umat manusia supaya dengan mudahnya dapatlah mereka beriman dan mengenepikan segala syak wasangka dalam jiwa.
* * * * *
Alhamdulillah selesai lagi satu entry tentang Fiqh Sirah ni. InsyaAllah apa yang cuba disampaikan ini dapat memberi manfaat buat semua, dan dapat beri peringatan juga buat diri ini yang sentiasa lupa. Mohon ampun dan maaf atas kesilapan yang ada. Mohon komen agar sama-sama kita dapat perbaiki kesalahan dan berkongsi pengetahuan.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan segala yang buruk juga datang dari Allah tetapi disandarkan kembali kepada aku insan yang lemah ini.
Rujukan: Fiqh Al-Sirah, Jilid 1.