Assalamualaikum...

Blog ni hanyalah mengenai rentetan hidup, luahan hati dan tempat curahan segala idea dan pendapat penulis.

Blog ini juga ada menggunakan perkataan aku sebagai penulis yang mana mungkin kasar dan tak mesra bunyinya. Sorry not sorry, this is my style.

Aman tanpa perang,
Ammanda Elydia.


Saturday 23 November 2013

Saki Baki Agama Hanif Dalam Jahiliyyah Arab.

Assalamualaikum.

Sebelum kita faham sirah itu sendiri, kita perlu menoleh lebih belakang lagi dan mengetahui tentang satu kenyataan bahawa Islam merupakan lanjutan dari agama Hanif yang dibawa oleh Abu al-Anbiya' (bapa para Nabi) iaitu Nabi Ibrahim a.s.

Semua tahukan? Bagus. :)

Firman Allah SWT:

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu(untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu bebanan dan susah payah dalam hal agama, sebagaimana agama bapa kamu, Ibrahim. Dia menamakan kamu: "orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini...." 

(Surah Al-Hajj, ayat 78)

Bangsa Arab ialah anak-anak Nabi Ismail a.s. Sebab tu lah mereka ada banyak millah(agama) dan minhaj yg diwarisi oleh bapa mereka dan semua tu menyeru kepada tauhidillah, beribadah kepadaNya, mematuhi hukum-hukumNya, mengagungkan tempat-tempat suciNya, khususnya Baitul-Haram, menghormati syiar-syiarNya serta mempertahankannya.

Namun, setelah kurun demi kurun berlalu, mereka mula mencampuradukkan kebenaran ini dengan kebatilan yang akhirnya mempengaruhi akidah mereka. Maka, mereka pun kembali menyembah berhala. Ok, soalan kuiz! Tau tak siapa orang pertama yang mula-mula menyelitkan unsur syirik dengan cara menymbah berhala?

Amru' bin Luhay bin Qama'ah.

Dia merupakan datuk moyang Bani Khuza'ah. Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Muhammad bin Ibrahim bin al-Harith al-Tamimi: Solih al-Saman menceritakan kepadanya, bahawa dia pernah mendengar Abu Hurairah berkata:

"Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Aktsam bin Jaun al-Khuza'i, "Wahai Aktsam, aku pernah melihat Amru' bin Luhay bin Qama'ah bin Khandaf menarik berhala kayunya ke dalam neraka. Aku tidak pernah melihat seorangpun wajahnya yang mirip(wajahnya) dengannya kecuali kamu." Lalu Aktsam berkata, " Apakah kemiripan rupa tersebut akan membahayakan aku, ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab," Tidak sebab kamu Mukmin, sedangkan dia kafir. Sesungguhnya dia adalah orang yang pertama sekali mengubah Agama Ismail a.s. Kemudian dia membuat patung-patung, memotong telinga haiwan untuk dipersembahkan kepada thaghut-thaghut, menyembelih binatang untuk Tuhan mereka, membiarkan unta-unta untuk sesembahan dan memerintahkan untuk tidak menaiki unta tertentu, kerana keyakinan kepada berhala." 

Ibnu Hisyam meriwayatkan bagaimana Amru' bin Luhay memasukkan berhala kepada bangsa Arab. Beliau berkata: Amru bin Luhay keluar dari Makkah ke Syam untuk keperluannya. Ketika sampai di Ma'ab, di daerah Balqa', pada waktu itu di tempat tersebut terdapat anak keturunan Amliq bin Lawaz bin Sam bin Nuh, dia melihat mereka menyembah berhala-berhala, lalu Amru' bin Luhay bertanya kepada mereka, "Apakah yang kamu sembah ini?" Mereka menjawab: "Ini adalah berhala-berhala yang kami sembah. Kami minta hujan kepadanya, lalu kami diberi hujan" Kemudian, Amru' bin Luhay berkata lagi, "Bolehkah kamu berikan satu berhala kepadaku untuk aku bawanya ke negeri Arab agar mereka(juga) menyembahnya?" Maka dia diberi satu berhala bernama Hubal. Lalu, dia membawanya pulang dan memasangnya serta memerintahkan orang ramai untuk menyembahnya.

Ish ish ish...

Maka tersebarlah ajaran penyembahan berhala ini di seluruh Arab. Dahulu mereka beraqidahkan tauhid yang dibawa Nabi Ibrahim, namun sekarang(pada masa tu la) mereka mensyirikkan Allah SWT. Akhir sekali, mereka berada dalam kesesatan dan melakukan tindak-tanduk yang buruk seperti bangsa-bangsa lain yang sesat.

Tetapi, perlu diingatkan bahawa penyebab utama mereka menjadi begitu adalah kerana ketandusan ilmu pengetahuan dan buta huruf dalam kalangan mereka.

Haa, walaupun macam tu, tetap masih ada segelintir daripada mereka yang masih berpegang teguh pada aqidah tauhid dan mengamalkan ajaran agama Hanif: meyakini hari kebangkitan, mempercayai bahawa Allah s.w.t. akan memberi pahala kepada orang-orang yang taat dan menyeksa orang-orang yang berbuat maksiat. Malahan mereka membenci penyembahan berhala yang dlakukan oleh orang-orang Arab  pada masa itu dan mengecam kesesatan fikiran dan tindak-tanduk buruk lainnya.

:)

Antara yang masih mengamalkan saki-baki agama Hanif ialah:
Qais bin Saudah al-Ayadi
Ri'ab Ash-Shanni
pendeta Buhaira

Ada juga yang masih mengamal saki-baki ajaran agama Hanif tetapi telah dicampur adukkan dengan amalan jahiliyah contohnya tawaf. Sewaktu melakukan tawaf, talbiyah mereka berbunyi:

"...melainkan dia yang menjadi sekutu bagi Engkau, Engkau miliki apa yang dia miliki"

Mereka tauhidkan Allah, tetapi dalam masa yang sama mereka menyekutukan Allah dengan berhala-berhala mereka.

Namun apabila perutusan Rasulullah SAW bermula, maka ini telah menghapuskan dan menyinari kegelapan jahiliyah dengan cahaya tauhid dan prinsip-prinsip keadilan disamping menghidupkan "saki-baki hanifiyah" yang ada.

Dengan itu barulah dapat dikenali kedudukan sebenar antara Islam dan pemikiran jahiliyyah yang pernah menjadi panduan kepada bangsa Arab sebelum kelahiran Islam, sama seperti dikenali kedudukan sebenar antara zaman jahiliyyah dengan zaman Milah Hanifiyyah yang diutuskan Ibrahim ‘Alaihi salam untuknya. Dan dengan itu jelaslah sudah bahawa kerana itulah Rasul mengekalkan banyak adat dan prinsip yang menjadi panduan dan ikutan kepada bangsa ‘Arab, di samping banyak pula adat dan tradisi mereka yang dihapuskan semuanya.

*****

Alhamdulillah. Selesai sudah entry kali ini yang juga merupakan tugasan usrah untuk minggu ini. InsyaAllah apa yang cuba disampaikan ini dapat memberi manfaat buat semua. Mohon ampun dan maaf atas kesilapan yang ada. Mohon komen agar sama-sama kita dapat perbaiki kesalahan dan berkongsi pengetahuan.

Segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan segala yang buruk juga datang dari Allah tetapi disandarkan kembali kepada aku insan yang lemah ini.

Rujukan: Fiqh Al-Sirah, Jilid 1.

Nabi Muhammad SAW, nabi yang terakhir!

Assalamualaikum.

Nabi Muhammad SAW ialah nabi yang terakhir dan tidak akan mungkin ada lagi nabi selepas baginda. Di dalam Islam, perkara ini harus dipercayai dan diimani. Ini merupakan asas akidah seorang muslim.

Dalam sepotong hadis Nabi yang bermaksud:

" Aku dan para anbiya' sebelumku 'ibarat satu bangunan' yang dibina oleh seorang lelaki. Lalu ia membinanya dengan baik dan dipercantikkannya kecuali pada tempat sekeping batu-bata pada suatu sudut. Maka orang ramai datang mengelilinginya dan kagum melihat dan berkata mengapa tidak diletakkan seketul batu-bata di tempat yang kosong itu, maka akulah batu-bata itu dan akulah penyudah segala nabi."

Kita dapat faham bahawa perkaitan dakwah Nabi Muhammad SAW dan dakwah para anbiya' terdahulu adalah untuk memperkemaskan lagi atau dengan kata lain untuk membuat kesimpulan dan penutupan.

Dua asas penting dakwah para anbiya':
*aqidah kepercayaan
*perundangan dan akhlak

Apa yang perlu kita tahu ialah aqidah kepercayaan yang dibawa oleh Nabi Adam TIDAK PERNAH BERUBAH sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW iaitu kepercayaan sepenuhnya pada Allah dan mengimaniNya. Setiap Nabi yang diutuskan menyeru kaumnya agar mensucikan Allah, mempercayai akan adanya hari kiamat, balasan syurga dan neraka. Setiap nabi itu juga menyokong apa yang dibawa oleh nabi-nabi yang terdahulu.

Allah berfirman, yang bermaksud:

"Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya"..."

(Asy-Syura, ayat 13)

Apabila kita bercakap tentang akidah, kita sebenarnya sedang bercakap tentang berita atau perkhabaran yang disampaikan seseorang. Tidak akan berlainan sesuatu perkhabaran itu jika berita yang disampaikan itu adalah benar. Begitu juga perihalnya bahawa Allah itu Esa, Allah itu Maha Suci.

Tapi apa yang membezakan antara setiap nabi kalau semuanya membawa akidah yang sama? Syariat. Bukan maksudnya, syariat yang dibawa itu sangat berlainan antara satu sama lain. Tetapi syariat yang dibawa oleh nabi yang terdahulu mungkin ada yang dimansuhkan atau dibatalkan oleh yang terkemudian sehinggalah syariat yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Syariat yang dibawa oleh setiap nabi-nabi terdahulu ini hanya tertumpu untuk kaumnya sahaja. Nabi Musa diutuskan buat Bani Israel, untuk bangsa dan zaman itu sahaja. Undang-undnag yang diturunkan buat kaum itu keras dan sesuai dengan sifat dan sikap kaumnya yang keras kepala.

Nabi Isa pula membawa yang lebih sederhana daripada Nabi Musa. Allah berfirman, yang bermaksud:

"Membenarkan apa yang dihadapanKu iaitu Kitab Al-Taurah dan menghalalkan separuh dari apa yang diharamkan ke atas kamu dahulu."

(Surah Ali Imran, ayat 50)

Nabi Isa membenarkan apa yang dibawa oleh Al-Taurah iaitu dari soal aqidah, tetapi dari segi perundangan atau syariat ada sedikit perubahan iaitu kelonggaran berbanding zaman dahulu.

Dapat disimpulkan di sini bahawa aqidah dan agama yang benar itu satu. Tidak ada wujudnya akidah yang pelbagai, yang ada hanyalah syariat yang dimansuhkan dan dibatalkan  hinggalah syariat terakhir yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Mungkin akan timbul pertanyaan, persoalan nanti.

Kenapa mereka yang mengaku pengikut-pengikut Nabi Musa mempunyai aqidah tersendiri yang tidak ada kena mengena dengan aqidah keesaan yang dibawa para anbiya'? Dan mengapakah mereka yang mengaku pengikut Nabi Isa menganuti suatu aqidah yang tersendiri? Jom, kita sandarkan pada dalil al-Quran:

"Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam. Tidak berselisih orang-orang yang diberi Al Kitab kecuali setelah datang pengetahuan kepada mereka, kerana berdengkian di antara meraka,"

(Surah Ali Imran, ayat 19)

"Dan mereka(ahli kitab) tidak berpecah-belah melainkan sesudah datangnya pengetahuan kepada mereka kerana kedengkian antara mereka. Kalau tidak kerana suatu ketetapan yang telah ada dari Tuhanmu dahulunya(untuk menangguhkan azab) sampai kepada waktu yang ditentukan, pastilah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang diwariskan kepada mereka Al-Kitab(Taurat dan Injil) sesudah mereka benar-benar berada dalam keraguan yang mengejutkan kitab itu."

(Surah Asy Syura, ayat 14)

Para anbiya' diutuskan bersama mereka yang Islam, agama yang diakui Allah. Ahli Kitab tahu bahawa agama itu satu dan diutuskan nabi-nabi untuk memberi sokongan kepada nabi-nabi yang terdahulu.

*****

Alhamdulillah. Selesai sudah entry yang kedua ni. Mohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dalam menukilkan entry ni. Mohon komen agar dapat sama-sama kita baiki kesilapan diri ini. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datangnya juga dari Allah tetapi disandarkan balik ke atas diri yang hina ini.

Semoga memberi manfaat buat semua. InsyaAllah. :)

Rujukan: Fiqh Al-Sirah, Jilid 1.

Friday 22 November 2013

Rahsia pemilihan Semenanjung Arab sebagai tapak pancaran Agama Islam.

Assalamualaikum.

Pernah tak dalam kehidupan seharian kita, terdetik persoalan kenapa Semenanjung Arab yang dipilih untuk menjadi tapak permulaan penyebaran Islam? Kenapa rasul terakhir dari bangsa Arab? Kenapa bahasa al-Quran ialah bahasa Arab?

Sebelum kita cuba rungkai satu-satu, jom kita singkap dulu keistimewaan bangsa Arab sebelum Islam dan keadaan geografinya. Then, kita bandingkan pula dengan tamadun-tamadun lain yang sezaman dengannya, contohnya Rome, Greek, India, Parsi.

Firstly, kita cuba kaji dulu bangsa-bangsa lain yang hidup di sekitar SA sebelum Islam. Nak dijadikan cerita, pada zaman tu dunia sedang dikuasai oleh dua negara besar: Parsi dan Rome, Greek dan India.

Pada masa itu, Parsi ialah satu negara yang mempunyai falsafah yang pelbagai dan merupakan arena perbahasan agama. Pembesar dan masyarakat pada masa itu menganut agama Majusi . Antara ajaran agama tersebut ialah menggalakkan perkahwinan antara anak lelaki dengan ibunya atau saudara perempuannya. Mereka hidup dalam tatasusila dan amalan yang jauh terpesong dari sifat-sifat kemanusiaan.

Kerajaan Rome pula sibuk dengan aktiviti perluasan kuasa dan perbahasan agama Kristian dengan negeri Syam a.k.a Syria dan Mesir. Mereka hidup dalam keadaan yang huru-hara dan tidak stabil. Kehidupan pula berlandaskan kemewahan duniawi dengan cara menindas golongan bawahan. Cukai yang tinggi juga merupakan fenomena biasa pada masa itu.

Greek pula tak habis-habis dengan dunia khayalan dan dongeng mereka sedangkan semua perkara itu langsung tidak memberi apa-apa manfaat buat mereka. India pula hidup dalam kemerosotan akhlak dan tatasusila kehidupan dan kemasyarakatan.

Kenapa mereka hidup macam tu sekali? Ini kerana, mereka hidup atas kemajuan dan tamadun yang hanya berasaskan harta benda, material, duniawi semata-mata. Mereka tidak mengambil akhlak-akhlak yang mulia sebagai asas kehidupan seharian mereka.

Acano lak dengan Semenanjung Arab masa tu? Haa, ni nak cerito la ni...

SA pada masa itu merupakan suatu kawasan yang tenang, jauh dan terpencil dari segala anasir-anasir buas dan liar tu. Eheh? Kenapa pula? Bukan ke diorang semua tu duduk di antara negara-negara yang tengah hebat dengan kemerosotan akhlak tu kan?

Ya, tetapi mereka tidak pernah merasakan kemewahan seperti Parsi, kekuatan tentera seperti Rome, tiada falsafah pelik-pelik seperti Greek. Mereka boleh dikatakan seperti 'bahan mentah' yang suci dan boleh dibentuk. Apa yang perlu diberikan hanyalah ilmu pengetahuan kerana sebelum ini mereka hanya hidup dalam dunia kejahilan yang sangat  gelap, hitam pekat. Kesesatan.

"Dan sesungguhnya kamu sebelum hari ini adalah dari golongan orang-orang yang telah sesat."

(Surah Al-Baqarah, ayat 198)

Allah telah menerangkan di dalam Al-Quran bukan untuk menghina, tetapi untuk memberi kemaafan atas keuzuran mereka. Ini kerana, bangsa-bangsa lain menjadi sebegitu rupa dalam keadaan sedar dan nak jadi macam tu.

Ok, sekarang kita kembali kepada persoalan asal kita. Kenapa pancaran dakwah Islamiyyah tu Allah bebankan pada Arab dan bukannya Parsi atau Rome atau mana-mana pelusuk dunia? Andaikata Allah nak pancaran dakwah Islamiyyah tu terpancar, bersinar di mana-mana pun di atas muka bumi ini, pasti Allah mampu kerana Allah itu Maha Kuasa, Pencipta Alam Semesta!

Namun hikmah Allah memilih SA dan Rasul yang buta huruf supaya manusia itu tidak syak wasangka terhadap Islam dan RasulNya. Di tempat Rasulullah diutuskan itu wujudnya satu suasana buta huruf, mereka tidak diracuni dan diusik oleh mana-mana tamadun, falsafah yang entah apa-apa itu.

Hikmah Allah memilih RasulNya seorang yang buta huruf agar tiada syak bahawa Islam ini benar-benar agama dari Allah dan bukannya dipelajari dari mana-mana falsafah oleh mana-mana tamadun. Hikmah lain yang dapat dilihat ialah ketinggian mukjizat keNabian dan syariat Islam berbanding seruan manusia lain.

Hikmah lain yang dapat diringkaskan di sini ialah:


  1. Di lembah Mekah ini lah tempat pertama seruan agama Islam iaitu agama Nabi Ibrahim dan juga tempat pengutusan nabi terakhir, Nabi Muhammad SAW.
  2. SA terletak di tengah-tengah pelbagai bangsa dan memudahkan proses penyebaran dakwah Islamiyyah di kalangan bangsa dan negara yang disekelilingnya.
  3. Bahasa Arab apabila dikaji mempunyai banyak keistimewaan yang sukar didapati dalam bahasa lain dan layak baginya untuk menjadi bahasa utama umat Islam walau di mana kita berada.
*****

Alhamdulillah, berjaya juga aku selesaikan entry kali ini dan harapanku agar ia dapat memberi manfaat buat semua. Segala kebaikan semuanya datang dari Allah. Segala keburukan juga datangnya dari Allah tetapi disandarkan balik atas aku insan yang lemah.

Mohon maaf jika ada kesilapan fakta. Boleh komen agar dapat sama-sama kita perbaiki kesalahan ini. InsyaAllah. :)

Rujukan: Fiqh Al-Sirah, Jilid 1.