Assalamualaikum...

Blog ni hanyalah mengenai rentetan hidup, luahan hati dan tempat curahan segala idea dan pendapat penulis.

Blog ini juga ada menggunakan perkataan aku sebagai penulis yang mana mungkin kasar dan tak mesra bunyinya. Sorry not sorry, this is my style.

Aman tanpa perang,
Ammanda Elydia.


Saturday 23 November 2013

Nabi Muhammad SAW, nabi yang terakhir!

Assalamualaikum.

Nabi Muhammad SAW ialah nabi yang terakhir dan tidak akan mungkin ada lagi nabi selepas baginda. Di dalam Islam, perkara ini harus dipercayai dan diimani. Ini merupakan asas akidah seorang muslim.

Dalam sepotong hadis Nabi yang bermaksud:

" Aku dan para anbiya' sebelumku 'ibarat satu bangunan' yang dibina oleh seorang lelaki. Lalu ia membinanya dengan baik dan dipercantikkannya kecuali pada tempat sekeping batu-bata pada suatu sudut. Maka orang ramai datang mengelilinginya dan kagum melihat dan berkata mengapa tidak diletakkan seketul batu-bata di tempat yang kosong itu, maka akulah batu-bata itu dan akulah penyudah segala nabi."

Kita dapat faham bahawa perkaitan dakwah Nabi Muhammad SAW dan dakwah para anbiya' terdahulu adalah untuk memperkemaskan lagi atau dengan kata lain untuk membuat kesimpulan dan penutupan.

Dua asas penting dakwah para anbiya':
*aqidah kepercayaan
*perundangan dan akhlak

Apa yang perlu kita tahu ialah aqidah kepercayaan yang dibawa oleh Nabi Adam TIDAK PERNAH BERUBAH sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW iaitu kepercayaan sepenuhnya pada Allah dan mengimaniNya. Setiap Nabi yang diutuskan menyeru kaumnya agar mensucikan Allah, mempercayai akan adanya hari kiamat, balasan syurga dan neraka. Setiap nabi itu juga menyokong apa yang dibawa oleh nabi-nabi yang terdahulu.

Allah berfirman, yang bermaksud:

"Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya"..."

(Asy-Syura, ayat 13)

Apabila kita bercakap tentang akidah, kita sebenarnya sedang bercakap tentang berita atau perkhabaran yang disampaikan seseorang. Tidak akan berlainan sesuatu perkhabaran itu jika berita yang disampaikan itu adalah benar. Begitu juga perihalnya bahawa Allah itu Esa, Allah itu Maha Suci.

Tapi apa yang membezakan antara setiap nabi kalau semuanya membawa akidah yang sama? Syariat. Bukan maksudnya, syariat yang dibawa itu sangat berlainan antara satu sama lain. Tetapi syariat yang dibawa oleh nabi yang terdahulu mungkin ada yang dimansuhkan atau dibatalkan oleh yang terkemudian sehinggalah syariat yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Syariat yang dibawa oleh setiap nabi-nabi terdahulu ini hanya tertumpu untuk kaumnya sahaja. Nabi Musa diutuskan buat Bani Israel, untuk bangsa dan zaman itu sahaja. Undang-undnag yang diturunkan buat kaum itu keras dan sesuai dengan sifat dan sikap kaumnya yang keras kepala.

Nabi Isa pula membawa yang lebih sederhana daripada Nabi Musa. Allah berfirman, yang bermaksud:

"Membenarkan apa yang dihadapanKu iaitu Kitab Al-Taurah dan menghalalkan separuh dari apa yang diharamkan ke atas kamu dahulu."

(Surah Ali Imran, ayat 50)

Nabi Isa membenarkan apa yang dibawa oleh Al-Taurah iaitu dari soal aqidah, tetapi dari segi perundangan atau syariat ada sedikit perubahan iaitu kelonggaran berbanding zaman dahulu.

Dapat disimpulkan di sini bahawa aqidah dan agama yang benar itu satu. Tidak ada wujudnya akidah yang pelbagai, yang ada hanyalah syariat yang dimansuhkan dan dibatalkan  hinggalah syariat terakhir yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Mungkin akan timbul pertanyaan, persoalan nanti.

Kenapa mereka yang mengaku pengikut-pengikut Nabi Musa mempunyai aqidah tersendiri yang tidak ada kena mengena dengan aqidah keesaan yang dibawa para anbiya'? Dan mengapakah mereka yang mengaku pengikut Nabi Isa menganuti suatu aqidah yang tersendiri? Jom, kita sandarkan pada dalil al-Quran:

"Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam. Tidak berselisih orang-orang yang diberi Al Kitab kecuali setelah datang pengetahuan kepada mereka, kerana berdengkian di antara meraka,"

(Surah Ali Imran, ayat 19)

"Dan mereka(ahli kitab) tidak berpecah-belah melainkan sesudah datangnya pengetahuan kepada mereka kerana kedengkian antara mereka. Kalau tidak kerana suatu ketetapan yang telah ada dari Tuhanmu dahulunya(untuk menangguhkan azab) sampai kepada waktu yang ditentukan, pastilah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang diwariskan kepada mereka Al-Kitab(Taurat dan Injil) sesudah mereka benar-benar berada dalam keraguan yang mengejutkan kitab itu."

(Surah Asy Syura, ayat 14)

Para anbiya' diutuskan bersama mereka yang Islam, agama yang diakui Allah. Ahli Kitab tahu bahawa agama itu satu dan diutuskan nabi-nabi untuk memberi sokongan kepada nabi-nabi yang terdahulu.

*****

Alhamdulillah. Selesai sudah entry yang kedua ni. Mohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dalam menukilkan entry ni. Mohon komen agar dapat sama-sama kita baiki kesilapan diri ini. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datangnya juga dari Allah tetapi disandarkan balik ke atas diri yang hina ini.

Semoga memberi manfaat buat semua. InsyaAllah. :)

Rujukan: Fiqh Al-Sirah, Jilid 1.

No comments:

Post a Comment